PADA Ahad, 9 Disember 2007, sebanyak 20 buah kereta ahli kelab FMC telah menyertai konvoi ke Port Dickson, Negeri Sembilan. Perjalanan bermula jam 8.45 pagi dari Arked Mara Bukit Gambir menuju Plaza Tol Tangkak. Tiba di Hentian Senawang, sebuah kereta ahli pancit tayar hadapannya dan pihak kelab amat berterima kasih kepada PlusRonda yang meminjamkan pam. Setelah dipam, kereta tersebut dibawa ke bengkel tayar di Senawang untuk ditampal. Konvoi tiba di pantai Teluk Kemang kira-kira jam 12 tengah hari. Setelah bersiap dan menikmati makan tengah hari yang ditaja oleh ahli kelab, acara sukaneka dijalankan antaranya tiup belon, bawa telur dalam sudu dan acara 'favourite' cari gula-gula dalam tepung.
Acara cabutan bertuah juga diadakan. Acara memotong kek sempena kelab mendapat sijil pendaftaran pertubuhan telah diadakan. Acara sukaneka dan pembahagian hadiah selesai kira-kira jam 2.00 petang. Selepas itu, ahli-ahli kelab dan keluarga menjalankan aktiviti masing-masing seperti mandi laut dan menaiki bot pisang.
Kira-kira jam 4.30 petang, semua ahli bersiap sedia untuk pulang. Sebuah kereta ahli kelab telah diumpil pencuri dan pemiliknya kehilangan sedikit wang dan cermin mata hitam.
Konvoi tiba di Melaka jam 7.30 malam dan singgah di sebuah warung di Bukit Katil untuk makan malam dan berlepas pulang jam 9.00 malam. Konvoi tiba di Stesen Petronas Bukit Gambir hampir jam 10.00 malam dan bersurai. |