AHLI FMC HULUR SUMBANGAN
Oleh Jamaludin Husin MESRA..Razali (kanan) bersalaman dengan seorang penghuni Rumah Orang Tua Tangkak. MUAR: Rasa prihatin terhadap nasib golongan kurang bernasib baik termasuk penghuni warga emas di rumah kebajikan mendorong ahli kelab permotoran Faceless Motor Club (FMC), Bukit Gambir, menganjurkan dan mengadakan lawatan ke Rumah Orang Tua Tangkak di sini, baru-baru ini. Sempena lawatan itu, FMC menyumbang bahan makanan iaitu beras, tepung dan gula di samping bergotong-royong membersihkan persekitaran bangunan rumah kebajikan berkenaan. Pengerusi FMC, Raali Yacob, 40, berkata konvoi membabitkan 25 kereta membawa kira-kira 35 ahli FMC bertolak dari pejabat kelab FMC di Bukit Gambir ke bandar Tangkak, pada jam 9 pagi. Beliau berkata, selain ahli kelab, program itu turut disertai ahli keluarga mereka bagi membolehkan mereka turut mendalami nasib dan kehidupan penghuni rumah kebajikan berkenaan. “Kami beramah mesra dengan warga emas yang menghuni pusat kebajikan itu di samping menghulur bantuan dalam usaha menggembirakan mereka supaya tidak merasakan diri terpinggir daripada anggota masyarakat lain. “Program itu dapat memenuhi masa lapang ahli kelab menjayakan kegiatan berfaedah untuk kebajikan dengan membantu golongan kurang bernasib baik,” katanya. Program berkenaan turut disertai Naib Pengerusi FMC, Mohd Razuan Senin dan Setiausahanya, Mohd Ismail Hamdan. Razali berkata, lawatan ke rumah kebajikan itu adalah kesinambungan daripada program amal dilaksanakan FMC iaitu membantu mangsa banjir di daerah ini, pada akhir Disember tahun lalu. Beliau berkata, rombongan itu mengadakan lawatan dengan meredah banjir di jalan utama yang dilanda banjir. Sumber: Harian Metro, Jumaat, 2 Mei 2008 |