Ledang Autoshow tarik 2,000 pengunjung MUAR 12 Jan. - Pameran Ledang Autoshow 2009 yang julung kali diadakan baru-baru ini berjaya menarik kehadiran hampir 2,000 pengunjung . Bertempat di Kompleks Pasar Tani Bukit Gambir, program anjuran Faceless Motor Club (FMC) itu dirasmikan Setiausaha Pergerakan Pemuda UMNO Bahagian Ledang, Abd. Rahman Ahmad yang mewakili Ketua Pergerakan Pemuda UMNO Bahagian tersebut, Zaidi Abd. Majid. Menurut Abd. Rahman, beliau berbangga melihat kehadiran pengunjung yang terdiri daripada pelbagai kaum ke pameran yang bermula pukul 10 pagi hingga 6 petang itu untuk menyaksikan pelbagai jenis kereta dan motosikal yang diubahsuai. "Para peserta telah 'mengorbankan' banyak wang ringgit semata-mata kerana hobi dan minat yang mendalam terhadap hiasan permotoran. "Namun saya juga ingin mengingatkan, kita juga perlu sentiasa membimbing rakan-rakan agar mengekalkan disiplin diri terutama ketika memandu di jalan raya," katanya. Menurutnya, inisiatif penganjuran program yang pertama kali diadakan itu perlu dipuji dan diharap dapat diteruskan sebagai ruangan terbaik untuk berinteraksi sesama masyarakat. "Selain program seumpama ini, sesebuah kelab juga boleh menganjurkan pelbagai program berbentuk pendidikan serta kebajikan dan kita boleh bergabung dengan agensi kerajaan dan swasta," katanya. Sementara itu, Pengerusi FMC, Razali Yaacob berkata, tujuan program itu diadakan adalah untuk mengisi aktiviti kelab di samping memberi peluang kepada penduduk sekitar Bukit Gambir dan Daerah Ledang melihat pelbagai jenis kereta dan motosikal yang dihias kemas. "Para peserta pameran ini bukan sahaja datang dari sekitar Bukit Gambir tetapi dari merata tempat seperti Muar, Johor Bahru, Kluang, Batu Pahat, Pasir Gudang, Melaka, Selangor dan Perak," katanya. Beliau turut mengucapkan terima kasih kepada sokongan daripada pihak Lembaga Pemasaran Pertanian Persekutuan (FAMA) Daerah Muar dan MN Fourty Five Sdn. Bhd. pada pameran itu. SUMBER: UTUSAN MALAYSIA, 13 JANUARI 2009
|