BUKIT GAMBIR, 25 MAC: Penubuhan sesebuah kelab permotoran diharapkan dapat memberikan manfaat yang maksimum kepada ahli-ahli yang menyertai kelab tersebut.
Setiap ahli yang menganggotai sesebuah kelab itu menaruhkan harapan agar mereka dapat sama-sama menghayati matlamat penubuhannya sekaligus menikmati manfaat yang boleh dijana melalui pengurusan yang cekap.
Ahli Parlimen Ledang, YB IR Haji Hamim Samuri berkata, semua ahli yang terlibat perlu komited dan serius dalam mengapai cita-cita besar yang dicetuskan melalui penubuhan kelab.
"Dengan penubuhan kelab ini, adalah diharapkan suasana kemeriahan di Ledang akan terus bangkit dan penubuhannya merupakan salah satu alternatif kepada kegiatan masyarakat khususnya anak-anak muda atau remaja dalam mengisi masa lapang dalam kehidupan seharian," katanya ketika berucap merasmikan Faceless Motor Club (FMC) di Dewan Serbaguna Bukit Gambir.
Turut hadir dalam majlis perasmian itu, Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Gambir, M Asojan, Naib Ketua Pergerakan pemuda UMNO Bahagian Ledang, Zaidi Abd Majid, Pengerusi FMC, Nor Hakiim Paiman serta 50 orang ahli kelab tersebut.
Menurut Hamim lagi, kegiatan permotoran lebih diminati oleh golongan remaja dan diharapkan dengan adanya kelab seumpama ini, mereka juga berminat menyertainya sekaligus dapat menyumbangkan sesuatu melalui kelab untuk pembangunan negara.
"Kita yakin ahli-ahli kelab akan lebih kreatif untuk mengolah aktiviti supaya akhirnya dapat mencapai matlamat sebenar iaitu untuk merapatkan hubungan di antara ahli-ahli kelab sambil menyumbangkan sesuatu yang berfaedah sama ada untuk kelab mahupun masyarakat. Tambahnya lagi, kegiatan kelab tidak seharusnya tertumpu kepada kebajikan sahaja malah kita boleh melebarkan spektrum ke bidang lain seperti ekonomi atau pendidikan berplatformkan kelab.
"Kita boleh memikirkan bersama untuk menubuhkan konsortium atau koperasi berasaskan permotoran seperti menubuhkan bengkel untuk dimanfaatkan oleh ahli-ahli kelab. "Kita boleh fikirkan jika di Ledang kita mulakan dengan satu bengkel kereta, kemudian merebak ke peringkat DUN dan seterusnya ke peringkat kampung secara tidak langsung ia dapat membina kekuatan diri sendiri dalam bidang ekonomi dan beramal berlandaskan matlamat kelab.
Hamim yang juga Timbalan Ketua UMNO Bahagian Ledang berkata, melalui aktiviti seperti berkonvoi ke tempat-tempat lain ia dapat meluaskan pengalaman dan kita berharap pengalaman yang diperolehi di tempat lain akan dibawa balik ke Ledang untuk dibuat di sini yang belum kita laksanakan.
Ini kerana pengalaman yang diperolehi di tempat lain akan mematangkan kelab dan dapat menarik minat ramai dan kita berharap kelab yang ditubuhkan ini sebagai sebuah organisasi yang mempunyai kualiti tinggi serta mapan, ujar beliau lagi.
Oleh ADISABARIMAN |